Falsafah Sejarah dari segi ‘Epistemelogi’; Perbandingan Timur dan Barat

Bismillahirrohmanirroheim

Allahumasolliwasallamwabarik alaih,

Salam ceria, apabila saya melakukan kajian sejarah dan pensejarahan, acapkali saya pening memikirkan teknik penulisan tesis dan kajian pensejarahan…maka dapat saya nukilkan begini alkisahnya; kesimpulannya saya menulis begini untuk menerangkan kepada diri saya sendiri;

PERBEZAAN EPISTEMOLOGI SEJARAH TIMUR DAN BARAT

 

Falsafah epistemologi sejarah dari timur mempunyai hubungan dengan aliran ilmu wahyu (agama Islam, Kristian, Yahudi) dan aliran intuisionisme yang merangkumi daya pemikiran manusia yang melebihi daya fikir manusia biasa, terutama menyentuh berkaitan kaedah memperolehi sesuatu ilmu pengetahuan.

 

Secara jelas dapat dibahagikan dua aliran utama konsep epistemologi sejarah dari timur;

  1. aliran ilmu wahyu
  2. aliran intuisionisme[1]

 

Falsafah epistemologi sejarah dari barat pula berkaitan dengan dengan aliran emperisisme yang menyentuh pengetahuan diperolehi dengan pancaindera dan aliran rasionalisme yang menjurus pengetahuan ‘akal’ sebagai kaedah sumber dalam memperolehi ilmu pengetahuan.

Secara asasnya konsep epistomologi barat dapat dibahagikan pada dua aliran;

  1. aliran emperisisme
  2. aliran rasionalisme[2]

 

Perbezaan  Aliran- Perspektif Timur

Aliran ilmu wahyu yang dipegang oleh tokoh-tokoh ilmuan Islam, Kristian dan Yahudi menekankan pada konsep ilmu pengetahuan terutamanya dalam bidang sejarah yang selari dengan kitab Al Quran, Injil dan Taurat. Keyakinan ini diperkuatkan dengan kisah-kisah sejarah dan zaman lampau yang saling berkaitan dalam ketiga-tiga kitab utama tersebut, serta kisah-kisah sejarah utama di lampau yang termuat di dalam kitab-kitab utama tersebut.

 

Aliran intuisionisme dalam konsep ilmu pengetahuan timur, melihat pada keupayaan pencernaan ilmu pengetahuan melalui jalan metafizik dan mencapai tahap ‘fana’ yang meleburkan perbezaan di antara subjek dan objek[3] dan mengwujudkan kesatuan di antara kedua-duanya sekali[4]. Pemikiran ilmu pengetahuan ini sebenarnya tidak dapat melarikan diri dengan konsep keagamaan atau ritualisme dalam agama Islam, Kristian dan Yahudi, disamping agama Buddha dan fahaman Hinduisme.

 

Aliran ilmu pengetahuan dalam Islam, Yahudi, Buddha dan Hindu dikesan mempunyai acara-acara ritualisme seperti amalan kerohanian peringkat tinggi dalam mencari sumber ilmu pengetahuan.  Penggunaan mantera, jampi, ayat-ayat suci dan dengan proses ibadat secara amalan kebatinan dan rohani dilakukan untuk memperolehi sumber-sumber ilmu pengetahuan dari alam magis atau daripada Tuhan.

 

Tradisi timur yang amat dipengaruhi oleh amalan keagamaan dan kepercayaan agama menilai kebenaran atau ketepatan sesuatu ilmu pengetahuan mestilah bersumberkan ilmu wahyu.  Ilmu pengetahuan perlu diselarikan dengan kebenaran yang sahih dan tidak terkeluar dari sumber utama, iaitu kitab Al Quran, Injil dan Taurat.  ‘Sumber wahyu, tidak syak lagi merupakan sumber pengetahuan yang terpenting dalam tradisi agama-agama besar yang tumbuh di Timur, khususnya agama-agama langit (samawi) seperti agama Yahudi, Nasrani, dan Islam[5].

Bagi ajaran Hindu dan Buddha, sumber-sumber dari kitab suci mereka seperti kitab Mahabrata menjadi panduan dalam perkembangan ilmu pengetahuan serta sejarah kehidupan dan tamadun mereka.

 Keutuhan kepercayaan tauhid dan ketuhanan menolak samasekali penggunaan dalil akal ( aqli) semata-mata dalam mentafsir ilmu pengetahuan , termasuklah dari segi falsafah sejarah. 

 

Pegangan utama dan sumber rujukan utama kepada kitab Al Quran, Injil dan Taurat menyebabkan aliran epistemologi sejarah timur tertakluk dengan nilai-nilai ketuhanan dan moraliti yang tinggi. Segenap penulis atau pengkaji wajib bertanggungjawab dalam memastikan setiap bentuk penulisan pensejarahan tidak berlawanan dengan hukum Tuhan serta undang-undang hukum-hakam agama yang tidak boleh berubah mengikut kehendak emosi atau akal semata-mata.  Bagi agama Islam, Al Quran dan hadis-hadis dari Nabi Muhammad s.a.w dianggap sebagai wajib secara mutlaknya untuk dipercayai atau dirujuk di dalam setiap penulisan pensejarahan. 

 

Kitab-kitab agama di India, seperti kitab agama Hindu seperti kitab ‘Mahabrata’ dan ‘Ramayana’ menekankan perjalanan kisah sejarah yang berlandaskan fahaman agama Hindu.  Ini termasuklah kepercayaan mengenai pembalasan dosa dalam konsep ‘Dharma’ dalam agama Buddha yang menyanggah kepada amalan yang berdosa, malahan agama Buddha mempunyai tradisi dalam amalan ibadat pertapaan dalam memperolehi sesuatu ilmu pengetahuan.  Fenomena ini jelas bertentangan dengan aliran epistemologi barat yang menekankan pada unsur rasionalisme dan emperisisme. 

 

Di dalam nilai-nilai falsafah agama Kristian secara asasnya memiliki universialiti sejagat, ketentuan Tuhan, tamadun peradaban dan pergerakan sejarah ke mercu kegemilangan, ‘peranan St. Agustine dalam zaman era kebangkitan Kristian telah mendominasikan Zaman Pertengahan’[6] menunjukkan bahawa falsafah sejarah dalam tradisi Kristian diperjuangkan oleh golongan ilmuan agama tersebut, malah hasil karya St. Agustine ‘The City of God’ memberikan pandangan penulisan sejarah yang menilai unsur kebaikan dan keburukan bagi sesebuah tamadun dunia berpunca dari nafsu manusia yang positif atau negatif.  Ini selaras dengan definasi pensejarahan klasik yang menitikberatkan pada nilai fungsional dari sebab akibat atau pengajaran daripada peristiwa yang telah berlalu/ silam.  

 

Secara amnya, dalam tradisi aliran timur ia amat menekankan kepada sumber wahyu akan menilai mengikut acuan kitab agama masing-masing, sebagai contoh agama Islam dengan 6600 ayat[7] di dalam Al Quran , kisah kisah sejarah yang unggul tercatat di dalamnya seperti peristiwa Nabi Musa a.s dengan Firaun di Mesir yang menyaksikan orang-orang Israel berpindah secara besar-besaran dari Mesir ke Sinai.  Al Quran dinyatakan mempunyai empat perlima isi kandungannya mengandungi peristiwa sejarah[8], malahan kitab agama seperti Taurat dan Injil mempunyai peristiwa sejarah yang hampir bersamaan di antara satu sama lain, contohnya cerita sejarah berkaitan riwayat hidup Nabi-Nabi ( a.s) yang terpilih. ( Nabi Ibrahim a.s, Nabi Isa a.s, Nabi Musa a.s).

Secara hierarki sumber sejarah pula, secara jelas dan nyata menunjukkan aliran timur menekankan unsur-unsur absolutisme yang sepenuhnya terhadap pengetahuan yang diturunkan oleh Tuhan melalui kitab-kitabNya.  Konsep ini melihat kepada kekuasaan Tuhan yang ‘Abadi’ dan tiada makhluk yang dapat mengalahkan kekuasaan Tuhan, terutamanya dalam kepercayaan para penganut agama Islam kepada Allah S.W.T sebagai Tuhan Yang Maha Esa.

 

Sebagai kesimpulannya, tradisi aliran epistemologi timur menggunakan kaedah keagamaan dalam mencirikan kaedah ilmu pengetahuan dalam sejarah.  Penggunaan sumber wahyu dari Tuhan dalam kitab utama agama Islam, Kristian  dan Yahudi memperlihatkan keseragaman dalam ilmu pengetahuan di dunia yang perlu diikat dengan sumber-sumber wahyu.  Penggunaan kaedah intuisionisme dalam aliran epistemologi timur membayangkan sesuatu yang dianugerahkan kepada ‘manusia yang terpilih’ untuk memperolehi ilmu pengetahuan secara ghaib melalui mimpi, pertapaan, ilmu laduni dan upacara mistik, pemerolehan ilmu pengetahuan secara intuisionisme ini adalah anugerah Tuhan yang diyakini bagi setiap penganut agama Islam, Kristian, Yahudi, Hindu dan Buddha.

 

Perbezaan Aliran – Perspektif Barat

Aliran pemikiran barat menekankan nilai-nilai empirikal yang menekankan konsep pengalaman dan pengamatan pancaindera, dalam mencerna ilmu pengetahuan.  Pembuktian empirikal adalah sesuatu yang amat tinggi darjahnya atau tingkatan dalam menentukan kesahihan sesuatu kajian, mengenai ilmu pengetahuan.  Penyelidikan dalam bidang sejarah mengikut aliran empirikal barat, menekankan pada bukti pengumpulan bahan dan sumber yang dapat dibaca dan dilihat oleh para pengkaji.  Pengamatan yang benar dan fakta-fakta yang sahih akan membuktikan kebenaran sesuatu penulisan ilmu pengetahuan, berkaitan sejarah manusia mengikut aliran barat.  Pengkajian dengan pengumpulan data dan bukti empirikal[9] merupakan aliran yang amat berpengaruh di barat, ini diperkuatkan lagi dengan pendapat Auguste Comte ( 1798-1857M) yang menyatakan abad ini ( moden) dikuasai oleh fakta dan pengamatan para penulis (pengkaji)[10].

 

Aliran rasionalisme barat lebih menekankan pada penggunaan ‘akal’ semata-mata dalam proses menggali ilmu pengetahuan. Aliran ini membuat tanggapan bahawa aliran empirikal akan selalunya berubah-ubah, sedangkan penggunaan akal bersifat tetap dan ketetapan yang unggul.  Ini menyebabkan wujudnya sub aliran yang hanya menekankan penggunaan akal fikiran semata-mata serta cuba menafikan aliran ilmu wahyu keagamaan dalam ilmu pengetahuan.  Ini dapat dilihat dari perspektif barat yang mewarisi beberapa falsafah sejarah zaman Greek yang terlalu mengutamakan akal semata-mata sebagai dalil, ‘ ilmu falsafah dan logik berkembang di Greek, dunia Greek memuja akal melebihi semua yang lain’[11].

 

Konsep konstruktivisme epistemologi yang diperkenalkan secara meluas oleh Jean Piaget (1967) yang mengkritik objektivisme berkaitan manusia yang dikatakan mampu mencapai tingkat  ilmu pengetahuan yang tidak terjangkau oleh akal ( ilmu ladunni), malah aliran ini melihat pada unsur ‘realiti’ semata-mata dalam menerangkan mengenai hakikat ilmu pengetahuan, ianya boleh disingkapkan atau diterangkan secara jelas dengan kaedah yang digunapakai oleh tokoh falsafah materialisme ( kebendaan) barat seperti Karl Marx ( 1818- 1883M) yang menilai sesuatu isu sosial, sejarah dan ekonomi dengan membandingkan dengan nilai-nilai materialisme semata-mata, termasuklah dari segi ilmu pengetahuan.  Konstruktivisme epistomologi menilai ilmu pengetahuan dengan kaedah pengkajian kualitatif  dan menekankan bahawa para pengkaji atau ahli ilmu pengetahuan yang menentukan pengetahuan saintifik di dalam ilmu pengetahuan bukannya sumber-sumber lainnya seperti  ilmu wahyu yang dipegang kuat oleh golongan Islam, Yahudi dan Kristian.

 

Aliran barat menekankan dalam konsep kebenaran sesuatu ilmu pengetahuan berdasarkan logika formal yang dibawa oleh pemikiran Socrates, Plato dan Socrates.  Ini ditambah dengan teori pertalian, teori kesepadanan dan teori pragmatik, disamping teori logik berlebihan, teori semantik dan teori non- deksriptif.  Secara amnya, tradisi barat melihat pada penggunaan akal dan panca indera dalam menentukan kebenaran sesuatu sumber ilmu pengetahuan dan menolak penggunaan ilmu wahyu dan ilmu agama seperti Islam, Yahudi dan Kristian.

 

Aliran skeptisme wujud di barat diakibatkan dari hanya bergantung dengan kebolehan ‘pancaindera’ semata-mata dan penggunaan akal sahaja, tanpa mempunyai nilai ruh keagamaan atau ilmu wahyu.  Ini menyebabkan ‘sejarah muktamad’ yang disimpulkan dari data sumber pertama yang diperolei dari pengamatan pancaindera dan akal, dianggap tidak mampu mempunyai asas yang teguh dan setiap masa boleh dikritik dari segi ketepatannya.  Contoh yang boleh dilihat dari segi penemuan artifaks di kawasan makam raja-raja Mesir purba ( piramid) yang masih tidak muktamad dari segi penulisan pensejarahannya, berbanding kisah sejarah yang terakam dalam Al Quran berkaitan sejarah raja Mesir ( Firaun) di zaman Nabi Musa a.s yang diturunkan sebagai wahyu dan tercatat di dalam Al Quran di zaman Nabi Muhammad s.a.w.  ‘Golongan ini cuba menimbulkan skeptikal terhadap kepercayaan beragama’[12], golongan ini merujuk pada golongan ilmuan barat yang memulakan aliran yang cuba menjauhkan dari sumber-sumber utama berasaskan wahyu.  Beberapa ilmuan yang dikesan mengambil kaedah skeptikal adalah Descartes ( 1596-1650M) dan Leibniz ( 1685-1753M)[13], golongan inilah yang menimbulkan anjakan pradigma dari keutuhan kepada sumber wahyu kepada sumber akal semata-mata di barat.

 

Aliran barat hanya mementingkan kepada penggunaan akal yang rasional serta menolak secara langsung penggunaan nilai agama dan kepercayaan tauhid di dalam agama Islam, Kristian dan Yahudi.  Ini menyebabkan penolakan penafian data maklumat empirikal sekiranya pemikiran intelek menafikan kewujudan maklumat empirikal, terutamanya berkaitan dengan perkara ghaib, mistik dan perkara-perkara atau isu yang tidak mempunya koleksi penyelidikan yang lengkap.  Ini dapat dikesan dengan kisah-kisah sejarah yang termuat dalam kitab-kitab utama agama samawi di dunia seperti Al Quran, Injil dan Taurat. 

Taklif penggunaan akal yang berlebihan menyebabkan penggunaan kaedah penyelidikan dan pengkajian saintifik dilakukan dan disahkan dengan penggunaan akal serta pancaindera manusia yang melakukan pengkajian mengenai sesuatu ilmu pengetahuan, termasuklah di dalam bidang sejarah.  Bidang penyelidikan yang dipentingkan berkaitan dengan ‘ cara-cara sejarahwan mengambarkan atau mengklasifikasikan bahan, kaedah-kaedah penyampaian kepada hipotesis atau kesimpulan, rumusan dan tafsiran serta hubungan antara sejarah dengan bentuk-bentuk penyelidikan lain[14].

 

Secara amnya, sumber sejarah bagi aliran barat amat menitikberatkan sumber empirikal, iaitu sumber berbentuk, sumber tulisan dan sumber lisan. Kaedah ini menimbulkan metodologi dalam penyelidikan berkaitan ilmu pensejarahan dan tulisan-tulisan akademik mengenai sejarah dunia manusia.  Penyaringan dari segi’heuristik’ pada peringkat pertama dan ‘kritik’ pada peringkat kedua dan akhirnya akhirnya menjurus kepada penggunaan akal sebagai peringkat terakhir, dalam mendapatkan sumber-sumber rasional mengikut aliran barat yang teramat menekankan kepada bidang penyelidikan dalam memperolehi keputusan mengenai sesuatu bidang ilmu pengetahuan.

Bagi aliran barat, hierarki sumber sejarah sebagai ilmu pengetahuan perlu diperkuatkan dengan, sumber pertama ( primary sources)[15], sumber pertama adalah sumber yang masih bersifat mentah dan belum pernah dibahaskan secara intelektualisme.  Sumber kedua bagi aliran barat dalam ilmu pengetahuan adalah hasil karya sejarah yang telah diproses dari sumber mentah sumber pertama.  Kritik dalaman dan kritik luaran akan dilakukan dalam menilai setiap hasil karya dari sumber pertama dan kedua terutamanya di kalangan ilmuan empirikal di barat, sehingga mencapai taraf ‘ Sejarah Muktamad’[16]. Walaupun begitu nilai absolutisme tidak tercapai dengan sempurna dalam aliran barat, berbanding dengan aliran timur yang berpegang teguh dengan tradisi ilmu wahyu mutlak dari Tuhan.

Sebagai kesimpulannya, aliran pemikiran barat dalam merujuk pada epistemologi sejarah dan falsafah berkaitan sejarah terbahagi kepada dua aliran secara amnya.  Aliran empirisisme menitikberatkan kepada kemampuan pancaindera manusia dan pendedahan pengalaman kepada kekuatan tubuh badan yang mampu meresapi ilmu pengetahuan secara sedar sebagai aliran epistemologi utama di barat.

Pemikiran barat dalam aliran yang menggunakan akal atau daya intelek semata-mata dapat dikesan dalam merujuk pada aliran rasionalisme, aliran ini amat prihatin kepada perkara-perkara yang statik dalam aliran epistemologi

 

 PENUTUP – KESIMPULAN

Secara umumnya perbezaan yang ketara dapat dilihat dari aliran-aliran yang dibawa oleh warisan barat dan timur dari segi perspektif epistemologi ilmu pengetahuan dalam bidang sejarah dan falsafah sejarah.  Kitab klasik Ramaya, Mahabrata dan Baghavad Gita dalam tradisi pensejarahan India amat berkait rapat dengan kepercayaan agama Hindu, manakala dalam agama Islam sejarah adalah bersifat universal, serta tidak tertakluk kepada ruang atau waktu tertentu[17] yang memberikan maksud kepercayaan kepada Allah S.W.T yang mengawal dan menentukan keseluruhan perjalanan pensejarahan dunia ini. Ini bersamaan dengan nilai tradisi golongan Kristian yang diasaskan oleh St. Agustine yang mencetuskan pengaruh agama dalam proses ilmu pengetahuan berkaitan sejarah, disamping kepercayaan golongan penganut agama Yahudi berkaitan dengan kitab Taurat yang memuatkan banyak kisah pensejarahan silam berkaitan masyarakat Yahudi.

Berbeza dengan perspektif aliran barat yang mengutamakan kaedah penyelidikan saintifik dan penggunaan akal serta pancaindera dalam menilai muktamadnya sesuatu bidang ilmu pengetahuan dari segi kesahihannya. Pengaruh sekularisme dan materialisme dan atheis jelas mempunyai pengaruh dalam aliran perspektif barat dari segi falsafah epistemologi sejarah.   Ini menyebabkan kemunculan tokoh-tokoh empirisisme seperti John Locke ( 1632-1704M), David Hume ( 1711-1776M)[18] dan tokoh-tokoh ‘materialist conception of history’ seperti Karl Marx ( 1818-1883M) yang menyumbangkan kepelbagaian kepincangan sosial kemasyarakatan dalam proses pengembangan ilmu pengetahuan berdasarkan pensejarahan barat yang mempengaruhi dunia di zaman moden.

Kesimpulannya…apakah jalan yang kita perlu ambil, kisah sejarah dalam AL QURAN seperti kisah Nabi Musa a.s dengan firaun dan kisah-kisah yang perlu diambil iktibar dalam Al Quran sebagai sumber sejarah, adakah kita dapat berpegang; jawapan saya; YA!!! TIADA KERAGUAN ! KITA WAJIB PERCAYA ! KISAH SEJARAH YANG DI FIRMANKAN OLEH ALLAH SWT…………wasallam dari Muhammad Zakir!!.

 

BIBLIOGRAFI

 Ahmad Tafsir, Filsafat Umum: Akal dan hati Sejak Thales sampai James. Bandung: P.T Remaja Rosdakarya, 1992.

 Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2000.

Abdul Rahman Haji Abdullah,  Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur:DBP, 2003.

 Bovens, Luc & Hartmann, Stephan.  Bayesian Epistemology. Oxford: Oxford University Press, 2003.

 Colin Brown, Philosophy and the Christian Faith. Illinois : Intervarsity Press, 1968.

 Dancy, Jonathan.  An Introduction to Contemporary Epistemology (Second Edition). John Wiley & Sons, 1991.

 Greco, J. & Sosa, E.  Blackwell Guide to Epistemology, Blackwell Publishing,1999.

 Harold H. Titus, Persoalan-Persoalan Filsafat. Jakarta: Pulau Bintang, 1984.

 Hendricks, Vincent F.  Mainstream and Formal Epistemology, New York: Cambridge University Press,2006.

 Morton, Adam. A Guide Through the Theory of Knowledge (Third Edition) Oxford: Blackwell Publishing, 2002.

Nasruddin Razak, Metodologi Dakwah. Semarang : cv Toha Puka, 1976,

Norman L. Geisler, Introduction to Philosophy : A Christtian Perspective. Michigan: Baker Book House, 1987.

R. Suntharalingam, Pensejarahan Barat. Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1987.

Rand, Ayn.  Introduction to Objectivist Epistemology, New York: Meridian, 1979.

Tomberlin, James . Philosophical Perspectives 13, Epistemology, Blackwell Publishing, 1999.

William H. Dray, Philosophy of History. Engelwood Cliffd New Jersey : Prenctice – Hall, 1964.

 

NOTA HUJUNG

[1] Abdul Rahman Haji Abdullah,Wacana Falsafah Sejarah.Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2000,hlm.73.

 

 [2] Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2000,hlm. 71.

[3] Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2000,hlm. 73.

 [4] Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2000,hlm. 73 dan ; Norman L. Geisler, Introduction to Philosophy : A Christtian Perspective. Michigan: Baker Book House, 1987, hlm. 108.

 [5] Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2000,hlm. 73.

[6] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka, 2003, hlm. 61.

[7] Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2000, hlm. 81.

[8] H.M Rasjidi, Filsafat Agama, hlm. 77 dan Nasruddin Razak, Metodologi Dakwah. Semarang : cv Toha Puka, 1976, hlm. 14.

[9] R. Suntharalingam, Pensejarahan Barat. Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1987, hlm. 12.

[10] Harold H. Titus, Persoalan-Persoalan Filsafat. Jakarta: Pulau Bintang, 1984, hlm. 362-263.

[11] Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2000, hlm. 72 dan ; Ahmad Tafsir, Filsafat Umum: Akal dan hati Sejak Thales sampai James. Bandung: P.T Remaja Rosdakarya, 1992, hlm. 24-25.

[12] Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2000,hlm. 72.

[13] Colin Brown, Philosophy and the Christian Faith. Illinois : Intervarsity Press, 1968, hlm. 48-57.

[14] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka, 2003, hlm. 63.

[15] Abdul Rahman Haji Abdullah. Wacana Falsafah Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2000, hlm. 83.

[16] Abdul Rahman Haji Abdullah. Wacana Falsafah Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2000, hlm. 83.

 [17] Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publications, 2000, hlm. 47.

[18] Abdul Rahman Haji Abdullah, Pengantar Ilmu Sejarah. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa & Pustaka, 2003, hlm. 13.

 

 


About these ads

Leave a comment

Filed under Uncategorized

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s