Memori -18 MAC 1942-Suku ‘Hakka’ – China- di daerah Jelebu, Negeri Sembilan / the Hakka peoples in Jelebu,N. Sembilan, Malaysia

Salam bahagia!

Menyentuh mengenai suku Hakka di daerah Jelebu, Negeri Sembilan yang kaya dengan adat Perpatih, sememangnya menarik perhatian saya.  Persoalan yang bermain di dalam minda, berpusar menyentuh mengenai penglibatan mereka di dalam gerakan anti-Jepun dan berjuang sebagai gerila menentang pendudukan tentera Imperial Jepun di Malaya.

Mengapakah orang-orang Cina dari suku Hakka, mempunyai semangat perjuangan yang sungguh gagah?

Ini dapat dilihat dari sejarah negara China sendiri.

Penghijrahan suku atau etnik Hakka ke Malaysia ditandai dengan kepimpinan seorang pemimpin suku Hakka di Pulau Pinang dan Perak, beliau adalah Chung Keng Kee yang mengepalai gerakan bawah tanah kongsi gelap yang agak terkenal, di zaman perlombongan bijih di Perak pada tahun 1860an, pertubuhan kongsi gelap tersebut dinamakan sebagai kumpulan ‘Hai San’.

Bagi daerah Jelebu, Negeri Sembilan, suku Hakka tertumpu di pekan Titi, sebuah pekan kecil yang didiami secara majoritinya oleh suku tersebut, ini ditambah lagi dengan pengumpulan secara beramai-ramai masyarakat tersebut, di perkampungan baru ( Kampung Baru) pada zaman darurat.

Penghijrahan para pemimpin suku Hakka yang berdarah pejuang bermula dengan kekalahan mereka dalam ‘Pemberontakan Taiping’ pada tahun 1864, di negara China.
Pemberontakan ini dipimpin oleh Hong Xiu Quan, seorang pemimpin Hakka yang memeluk agama Kristian mahzab Protestan ( inilah sebabnya di pekan Titi terdapatnya gereja Kristian), gerakan ‘Pemberontakan Taiping’, berpunca dari usaha Hong Xiu Quan yang memulakan gerakan menentang Dinasti Ching ( Qing) yang dianggap sebagai orang gasar dari luar negara China.
Dinasti Ching diasaskan oleh Maharaja yang berasal dari wilayah Manchuria yang keturunan mereka berasal dari etnik Monggol dan lebih dikenali sebagai Manchu, ini menyebabkan mereka dianggap orang luar bukan berketurunan ‘Han’.

Pemberontakan orang-orang Hakka yang berpusat di Jintian, Guangxi bermula pada tahun 1850 dan bertahan selama hampir sebelas tahun, sehinggalah dikalahkan oleh tentera Manchu ( Dinasti Ching) pada tahun 1864.

Kekalahan ini menyebabkan ramai pemimpin pemberontakan ini melarikan diri ke Asia Tenggara, ini termasuklah ke daerah Jelebu di Negeri Sembilan yang mempunyai ramai penduduk Hakka yang bekerja di sektor perlombongan bijih timah.

“The Chinese had ancestors from China who had taken part in Hung Hsiu Ch’uan ( Hong Xiu Quan) Anti-Ching Dynasty Movement, escaped to Selangor’s Bukit Besi and Ulu Langat. There were also those who joined Sun Yat Sen’s Hsing Chung Hui and the failure of the movement fled to Malaya, to Titi ( pekan Titi, daerah Jelebu, N. Sembilan). They imparted anti-imperialist sentiments to their descendants”. ( dipetik dari buku: Shan Ru-hong. ‘The War in South-the story of Negri Sembilan’ guerillas’. Tathata Publications. Bangkok. 2003, hlm. 9)

Secara jelas, kegagalan para pemimpin suku Hakka dalam pemberontakan nasionalisme  menentang Dinasti Ching menyebabkan mereka melarikan diri ke Tanah Melayu( Malaya), dalam  tahun 1864 sehinggalah tahun 1875.
Berdasarkan petikan dari buku yang ditulis oleh bekas pemimpin gerila Parti Komunis Malaya bernama Shan Ru-Hong diatas, para pemimpin suku Hakka yang berpindah ke pekan Titi di daerah Jelebu, menanamkan semangat anti penjajah dan semangat anti imperialisme di kalangan anak cucu serta keturunan mereka.

Inilah faktor utama menyebabkan mereka membenci kerajaan British di Tanah Melayu dan pemerintahan tentera Imperial Jepun pada sekitar tahun 1942 sehinggalah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945.

Gerakan ketenteraan Jepun ke dalam wilayah taklukan China di Korea dan Manchuria menyebabkan suku Hakka di Tanah Melayu ( Malaya) merasa amat marah dengan kerajaan Jepun.
Kekalahan Dinasti Ching dianggap juga kekalahan bagi bangsa China, negara China terpaksa menandatangani Perjanjian Shimonoseki pada tahun 1895 yang secara jelas menjatuhkan maruah harga diri masyarakat China.

Kepimpinan pemimpin lagenda suku Hakka di pulau Taiwan ( Farmosa), iaitu Liu Yong Fu ( 1837 -1917) menentang pendudukan tentera Jepun yang dipimpin oleh Putera Kitashirakawa Yoshihisa ( 1847-1895), menjadi pendorong semangat suku Hakka di seberang laut.
Liu Yong Fu terpaksa menentang kekejaman tentera Jepun dari bulan Mei 1895, sehinggalah mengalami kekalahan pada 21 Oktober 1895.
Tentera Jepun telah membunuh dan memusnahkan harta benda para penentang di kalangan suku Hakka di Taiwan, inilah punca utama kepada semangat perjuangan suku Hakka di Asia Tenggara, termasuklah di pekan Titi, daerah Jelebu, Negeri Sembilan.

Negara China sekali lagi dimalukan oleh kuasa-kuasa barat yang terdiri dari Jerman, Amerika Syarikat, Britain, Russia dan Perancis, termasuklah Jepun, apabila China terpaksa menandatangani Protokol Boxer pada 7 September 1901 yang mengakhiri pemberontakan rakyat China, ke atas masyarakat Barat yang dianggap penjajah di tanah besar China, khususnya di Tianjin.

” When the Chinese July 7 War against Japanese aggression erupted, the Chinese in Seremban opposed the Japanese imperialist aggression against China and the contributions for funds flowed in. Titi ( pekan Titi, daerah Jelebu) was at forefront with not a few young people joining Support Resistance to Japan Associations. Many took part in Overseas Chinese Support for War Refugees committees”. ( dipetik dari buku: Shan Ru-hong. ‘The War in South-the story of Negri Sembilan’ guerillas’. Tathata Publications. Bangkok. 2003, hlm. 9)

Perang China- Jepun Kedua berlaku dari 7 Julai 1937 sehinggalah 9 September 1945; sebagaimana petikan dari tulisan bekas pemimpin gerila PKM ( Parti Komunis Malaya, Shan Ru-hong), kebanyakan penduduk suku Hakka di Negeri Sembilan ( Seremban), serta  pusat utama gerakan anti-Jepun di pekan Titi, daerah Jelebu, menyokong dengan tidak berbelah bahagi untuk menyokong secara aktif gerakan penentangan habis-habisan terhadap tentera Jepun yang melakukan penaklukan ke atas negara China.
Suku Hakka di Jelebu, Negeri Sembilan memberikan sokongan kuat dari segi  kewangan, material dan kekuatan  moral, terhadap tentera China yang diwakili oleh golongan nasionalis Parti Kuomintang dan golongan komunis Parti Komunis China, berjuang menentang kemaraan tentera Jepun yang zalim dan ganas.

Kekejaman tentera Jepun yang merogol wanita, membunuh kanak-kanak dan memusnahkan bandar-bandar utama di China, serta penggunaan bahan kimia beracun bagi membunuh masyarakat awam, menjadi dasar utama sokongan yang padu oleh masyarakat suku Hakka dan etnik-etnik Cina lainnya, di Tanah Melayu  ( Malaya).

Perisikan tentera Jepun yang berpusat di Bangkok, Thailand memantau gerakan penentangan suku Hakka di Negeri Sembilan, para perisik tentera Jepun yang kebanyakannya telah menyamar sebagai peniaga kain dan tukang gunting rambut, mengumpulkan maklumat bagi memperolehi sumber-sumber berkaitan para penyokong anti -Jepun di Negeri Sembilan.
Inilah yang menjadi punca utama pembunuhan beramai-ramai suku Hakka di Jelundong atau ‘Eelonglong’, berhampiran pekan Titi pada tarikh 18 Mac 1942.

Tragedi ‘Eelonglong’ pada 18 Mac 1942 bermula dengan pengumpulan beramai-ramai suku Hakka yang terdiri dari golongan kanak-kanak, sehinggalah orang-orang tua, di kawasan Sekolah Yi Chung, kesemua penduduk di Ladang Jelebu dan berhampiran pekan Titi telah dikumpulkan dan ditahan di dalam bilik-bilik darjah dan diasing-asingkan mengikut jantina.
Kaum lelaki yang muda ( belasan tahun sehingga umur 30an) diikat tangan dan dibawa ke sebuah bilik yang berasingan, mereka dianggap berpotensi melakukan penentangan terhadap tentera Jepun.
Lelaki muda dan remaja lelaki yang diikat secara beramai-ramai, kemudiannya ditikam dengan bayonet secara kejam oleh tentera Jepun, kaum wanita pula dirogol bergilir-gilir, dikelar dan dibunuh. 
Rumah-rumah kediaman telah dibakar hangus, kezaliman yang amat keji berlaku ke atas bayi dan kanak-kanak, apabila golongan ini dibunuh dengan kaedah menghempaskan tubuh bayi dan kanak-kanak malang ini, ke atas tanah dan ditikam dengan bayonet atau dilambungkan ke udara dan ditikam dengan bayonet oleh tentera Jepun.

Peristiwa pembunuhan beramai-ramai di daerah Jelebu pada 18 Mac 1942 oleh tentera Jepun, bukan sahaja berlaku di pekan Titi, namun di kawasan Ladang Jelebu, Tanah Merah, Sungai Rotan dan Limong. Kesemua petempatan ini diduduki oleh masyarakat Cina dan majoritinya dari kalangan suku Hakka.

“It was estimated that in the March 18 Eelonglong Tragedy, about 1,700 from Ladang Jelebu, Tanah Merah, Kamloong, Sungai Rotan, the “Wharf” , Limong were slaughtered”. ( dipetik dari buku: Shan Ru-hong. ‘The War in South-the story of Negri Sembilan’ guerillas’. Tathata Publications. Bangkok. 2003, hlm. 63)

Pada masa yang sama, kekejaman tentera Jepun juga melibatkan, keseluruhan masyarakat Cina di Negeri Sembilan, mereka dibunuh secara beramai-ramai oleh tentera Jepun, melibatkan beberapa tempat di Jelebu, iaitu di Simpang Pertang, Durian Tipus, Bahau, Tanah Merah dan Sungai Lui. Daerah-daerah lain adalah di Kuala Pilah dan pekan Batu Kikir, daerah Johol, pekan Kota, Air Kuning, bandar Port Dickson dan bandar Seremban ( Temiang, Sikamat).

Pengajaran dari peristiwa di atas, sekiranya dikaji secara pengkajian sejarah yang tuntas, kita dapat melihat bahawa pengaruh keturunan dan jurai salahsilah, memainkan faktor utama sebagai penyebab pada kebangkitan semangat juang, di kalangan sesuatu etnik atau suku kaum tertentu di dunia.
Suku Hakka juga terkenal dengan pelbagai tokoh yang terkenal di Malaysia, contohnya Yap Ah Loy ( pemimpin Cina di Kuala Lumpur sekitar tahun 1870-1885) dan Yap Kwan Seng ( Kapitan Cina di Kuala Lumpur sekitar tahun 1889-1902).

Perdana Menteri Thailand sekarang ini, Abhisit Vejjajiva dan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra juga merupakan dari etnik Hakka di Thailand. Perdana Menteri Myanmar pada tahun 2003-2004, iaitu Khin Nyunt juga mempunyai darah etnik Hakka yang menunjukkan penguasaan etnik Hakka, dalam arena politik yang tidak boleh dinafikan dari segi kesinambungan,  riwayat gagah berani tradisi budaya etnik Hakka!!!.

5 Comments

Filed under Uncategorized

5 responses to “Memori -18 MAC 1942-Suku ‘Hakka’ – China- di daerah Jelebu, Negeri Sembilan / the Hakka peoples in Jelebu,N. Sembilan, Malaysia

  1. jennifer

    Rencana yang sungguh mengkagumkan and informatif sekali. Rencana anda telah menjawab pelbagai soalan yang bermain dalam otak saya kebelakangan ini. Saya akan membawa satu rombongan lawatan ke Titi
    tidak lama. Setinggi-tinggi terima kasih saya
    ucapkan.

    • muhammadzakir

      Terimakasih kembali.
      Saya mengkaji sejarah Kampung Titi, Jelebu kerana sewaktu saya di Universiti Sains Malaysia, saya terbaca kisah berkaitan asal usul orang Hakka dari China ke Jelebu, Negeri Sembilan yang merupakan golongan pejuang China menentang kuasa penjajah/barat/Jepun di China. Kekejaman tentera Jepun ke atas masyarakat Hakka di Kampung Titi merupakan suatu episod hitam yang tidak dapat dilupakan, berkebetulan saya berkahwin seorang gadis di Kampung Chenor, Kuala Klawang, Jelebu yang memudahkan saya melakukan kajian dan temubual ke atas responden di Jelebu.

      Muhammad Zakir Long Putra dan Syarifah Salha Syed Ahmad Katan Al Habsyi ( Kampung Chenor, Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan, Malaysia)

  2. salam…info yg cukup aik untok generasi mendatang..sy di besarkan di pekan titi sehingga 20an,,tau serba sedikit adat resam mereka dan bolih bertutur hakka atau kek atau hakwa..walau pon bayak yg dah lupa tapi masih bolih faham apa yg mereka cakap..tempat jatuh lagi dikenang inikan pulak tempat bermain…saya memang ingin sangat kesana sebelum saya akhiri hidup saya …banyak kenanagan saya di sana…saya tak tau nak kaji tapi pengalaman saya disana tidak ada nilainya..saya ingin mengikuti rombongan cik jenifer kalau bole…

  3. salam buat semua…setelah membaca artikel tuan baru saya tahu pekara yang tersirat disebalik kampung titi yang saya tinggal untuk beberapa tahun lampau.memang tidak di nafikan kaum cina hakka,kek,hakwa,hakka lau…hampir 100% menjadi penduduk kampung titi,semasa saya disana orang melayu boleh di kira dengan jari..terdiri hanya polis dan penghulu saja orang melayu dan terdapat juga sorang dua polis berbangsa cina untuk menjadi jurubahasa kerana rata2 mereka yang senior tidak bolih berbahasa melayu.saya amat teringin sekali untok menjegok kawan2 sepermainan saya disana…

  4. saya amat meminati ruangan yg saudara paparkan tentang suku hakka di kampong titi,saya pernah bermastauatin disana lebih 10 tahun ..20 tahun dulu..saya boleh berbahasa hakka walau pon tidak fasih tapi boleh faham apa yg di bualkan,olih kerana suadah agak lama saya tidak kesana lagi saya terpanggil untok kesana mengimbau kembali semasa saya tiggal di sana..saya ingin sekali mengikut rombongan che jennifer kalau ada waktu terluang..dapat kiranya tuan beri tahu saya bagaimana untok menghubongi che jennifer..t.kasih..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s