Manifest Destiny – Ketentuan Takdir Bangsa Kulit Putih Amerika Syarikat menakluk Dunia ; White Man Burden of United States ( America)

Manifest Destiny[1] merupakan satu terma perkataan yang membawa maksud pada ketentuan takdir yang unggul pada dasar perluasan wilayah Amerika Syarikat pada awal abad ke 19 dari persempadanan pergunungan Appalachian di pantai timur merentasi tengah benua Amerika Utara, merentasi pergunungan Rocky di pantai barat dan wilayah California dan Oregon yang mengadap ke Lautan Pasifik, ianya dianggap sebagai “destined and divinely ordained by The God of Christianity”[2].

Manifest Destiny juga berjaya membentuk Amerika Syarikat berubah menjadi 50 buah negeri yang bernaung di bawahnya dengan kerajaan persekutuan / federal di pusatkan di Washington sebagai ibu negaranya.

Dasar perluasan wilayah dan kekuasaan yang disandarkan pada Manifest Destiny berlangsung dalam dua period yang berbeza, sehingga tahun 1867 dasar perluasan kuasa hanya mencakupi sehingga ke sempadan negara Mexico, Kanada dan pesisiran pantai Lautan Pasifik.

Period yang kedua bermula pada tahun 1867, apabila Presiden Amerika Syarikat dengan kelulusan Dewan Senat membeli wilayah Alaska yang bersempadanan dengan Kanada pada harga $ 7, 200 , 000 dari Tsar Russia[3]. Pulau Hawaii di Lautan Pasifik dikuasai sepenuhnya pada tahun 1898 ( menjadi wilayah ke 50 Amerika Syarikat pada tahun 1959)[4], sekali lagi Manifest Destiny dianggap sebagai kewajaran bagi Amerika Syarikat meluaskan wilayahnya.

Amerika Syarikat juga melibatkan diri dalam peperangan bagi melunaskan aspirasi Manifest Destiny, ini dapat dilihat dari kesan peperangannya dengan Sepanyol di pulau Cuba[5] yang menyaksikan Amerika Syarikat menguasai pulau tersebut pada tahun 1898 dan menguasai kepulauan Guam di Pasifik dan Puerto Rico di Amerika Tengah dan penyerahan Filiphina oleh kerajaan Sepanyol[6]. Pembukaan laluan kelautan ke Jepun pada tahun 1854 oleh Komander Matthew C. Perry yang membawa pada kemasukan kuasa Amerika Syarikat di China ( Dinasti Ching), seterusnya perluasan kuasa Amerika Syarikat di Filiphina di Asia Tenggara sehinggalah kekalahan Amerika Syarikat pada Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

Amerika Syarikat seterusnya terbabit dalam Perang Dunia Pertama di Eropah, Perang Dunia Kedua di Afrika, Eropah dan di rantau Asia.  Era Perang Dingin menyaksikan Amerika Syarikat cuba mengekang perluasan pengaruh komunisme di Eropah dan terbabit dalam Perang Korea dan Perang Veitnam.  Pada tahun 1990an, Amerika terbabit dalam peperangan dengan Iraq di Asia Barat dan dalam era tahun 2001-2008, Amerika Syarikat terbabit dalam peperangan menentang keganasan di Afghanistan dan Iraq, disamping meluaskan pengaruh ke Poland, Uzbekistan, Ukraine dan negara-negara Asia Tengah dan pergunungan Kaukasus, menyaksikan Russia cuba mengekang kuasa Amerika Syarikat pada tahun 2008 di Georgia dengan campurtangan ketenteraan.

 

Manifest Destiny – Justifikasi

Secara dasarnya, Manifest Destiny merupakan satu dasar halatuju yang menyasarkan Amerika Syarikat sebagai sebuah negara dunia dan kuasa besar dunia yang berperanan utama dari abad ke 19 sehinggalah ke abad ke 21.

Manifest Destiny dapat dianggap sebagai sebuah ideologi dan pegangan yang membawa semangat juang pada rakyat Amerika Syarikat di dalam membentuk sebuah persekutuan yang gagah dan unggul sehingga ke zaman ini[7].  Falsafah yang terbentuk dalam Manifest Destiny adalah sebuah janaan dan hasrat sebuah gerakan yang berdaya maju dengan pemikiran yang menjana ke arah pembentukan dasar perluasan wilayah, pengaruh dan persempadanan yang melangkaui jangkaan Presiden Amerika Syarikat yang pertama, George Washington dan dari tarikh pengistiharan Amerika Syarikat pada 4 Julai 1776.

 

Semangat yang membentuk pada penyelarasan Manifest Destiny dipelopori oleh John Louis O’Sullivan ( 1813-1895), pada tahun 1839 beliau telah menulis sebuah rencana yang amat berkaitan dengan usaha ke arah Manifest Destiny atau perluasan kuasa dan wilayah Amerika Syarikat[8]. 

Antara intipati penulisan beliau pada tahun 1839 yang menjadi asas pada Manifest Destiny pada tahun 1845 adalah keperluan bagi Amerika Syarikat membuka sebuah lembaran baru bagi pensejarahan dunia moden, melepaskan diri dari cengkaman sistem politik konservatif, membebaskan diri dari sistem pemerintahan monarki, memisahkan diri dari zaman lampau yang suram, memacu kea rah perjuangan politik dimensi baru dan pembentukan Amerika Syarikat sebagai sebuah negara yang memimpin dunia.  O’ Sullivan juga mentakrifkan dasar kesamarataan dan keadilan sejagat sebagai dasar utama pertanggungjawaban bagi Amerika Syarikat dalam meluaskan pengaruh, disamping membentuk negara yang demokratik, adil dan saksama.  Beliau mengecam sistem pemerintahan monarki yang rigid, golongan aristokrat dan sistem pemerintahan feudalisme yang menindas rakyat bawahan, serta kekejaman, ketidakadilan dan pemerasan di kalangan pemerintah di benua Eropah.  Amerika Syarikat perlu memperjuangkan nilai suci keadilan sejagat, bersemangat kemanusiaan yang tinggi, menghancurkan kekejaman dan berusaha mempelopori keadilan sosial ke atas manusia secara kolektifnya atau secara individu.  Negara Amerika Syarikat perlu membebaskan dirinya dari pemerintahan yang membenarkan kekejamana, penyeksaan dan mengamalkan penindasan ketara oleh kaum bangsawan elitisme.  Amerika Syarikat adalah pejuang golongan patriotik yang mempertahankan hak asasi manusia, menentang pembentukan kerajaan monarki beraja dan menafikan hasrat pemerintahan yang memusnahkan seluruh kehidupan yang sama rata dari segi hak, keadilan dan kehidupan manusia. 

Amerika Syarikat tidak boleh sama sekali menyokong atau beriringan dengan dasar pemerintahan yang menindas rakyat, sebaliknya mengutamakan tindakan yang berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan.

Manusia dan warganegara perlu mempunyai keinginan atau objektif yang jelas dan berjuang untuk berubah, demi pembangunan, kemajuan dan teknologi, semangat jitu inilah yang akan membentuk sebuah negara yang maju dan menafikan kuasa aristokrat dan mengenepikan sistem monarki beraja yang berbentuk feudalisme.

Keinginan Amerika Syarikat adalah membentuk sebuah negara moden yang maju, disamping mengekalkan dasar keagamaan ( agama Kristian) dengan nilai keimanan dan ritual agama yang tertinggi sekali, mempunyai kepercayaan kepada Tuhan yang membawa pada keadilan, kesamarataan dan keamanan sejagat.

Kebebasan hak asasi manusia, kebebasan bersuara, pembentukan pasaran bebas dan nilai-nilai keadilan sejagat perlu dibentuk dengan rapi agar menjadi katalis pada arah halatuju Amerika Syarikat yang dominant dalam usaha menjadi negara yang unggul.  O’ Sullivan dalam artikel akhir pada tahun 1839 menekankan pada kepercayaan kepada Tuhan akan membentuk nilai kemanusiaan yang tinggi, seterusnya membentuk sebuah negara yang bermoraliti.  Amerika Syarikat lahir dari kemusnahan sistem beraja dan raja-rajanya, kemusnahan sistem hierarki serta oligarki yang akan membawa pada keamanan dunia,  negara Amerika Syarikat akan menjadi sebuah negara yang terkemuka pada zaman akan datang ( selepas tahun 1839) dan tersohor sebagai negara yang membawa idea baru dalam dasar pemerintahannya yang menolak sistem feudalisme.[9]

 Pada tahun 1845, O’ Sullivan memperkenalkan buat pertama kalinya terma ‘Manifest Destiny’ dalam penulisannya di dalam akhbar Democratic Review[10], sebagai tanda sokongan pada ekspedisi ketenteraan Amerika Syarikat ke Texas dan merampas Texas dari kekuasaan tentera Mexico dalam peperangan yang berlanjutan dari bulan Julai sehingga Ogos 1845.

O’ Sullivan sekali lagi menyatakan kepentingan ‘Manifest Destiny’ dalam tulisannya di dalam akhbar The New York Morning News pada 27 Disember 1845,  jelasnya beliau menghuraikan kepentingan Manifest Destiny bagi Amerika Syarikat menguasai negeri/ wilayah Oregon[11] di pantai barat pesisiran lautan Pasifik untuk mengelakkan penguasaan kerajaan British yang tertakluk dengan kuasa pemerintahan beraja.  O’Sullivan memberikan peringatan agar sistem demokrasi perlu diserapkan ke dalam pemerintahan dan kuasa rakyat adalah yang paling utama dan kekerasan dengan penggunaan kuasa tentera sebaik-baiknya harus dielakkan dalam usaha memperluaskan kekuasaan. 

Pada 5 Januari 1846, O’ Sullivan menulis surat yang bertandatangan dan di dalamnya mengandungi kenyataan berkaitan Manifest Destiny untuk menyokong usaha menguasai wilayah Oregon ke akhbar The New York Morning News ( surat yang ditandatangan oleh O’ Sullivan, ini diiktiraf oleh sejarahwan Amerika Syarikat pada tahun 1927 sebagai warisan sejarah yang tulen).[12]

O’ Sullivan mengusulkan agar perpindahan penduduk Anglo-Saxon ke kawasan pantai barat benua Amerika Utara sebagai jalan penyelesaian ke arah memperolehi hak menguasai sesebuah wilayah.  Ini jelas menunjukkan satu kritikan pada negara-negara Eropah yang menggunakan kuasa ketenteraan dalam melakukan penjajahan, walaupun begitu dalam konteks Perang Mexico-Amerika Syarikat pada tahun 1846 tentera Amerika Syarikat terpaksa digunakan dalam menguasai Texas, seterusnya mengalahkan tentera Mexico dan menghasilkan satu perjanjian yang dinamakan sebagai, Perjanjian Guadalupe Hidalgo pada 2 Februari 1848.[13]  Perjanjian ini telah menguntungkan Amerika Syarikat, apabila mereka memperolehi wilayah California, Nevada, Utah, Colorado, Arizona, New Mexico dan Wyoming, persempadanan baru bagi Amerika Syarikat dan Mexico ditandakan di Sungai Rio Grande.

 Faktor-Faktor Menyokong Manifest Destiny

Penguasaan wilayah Oregon dari kuasa pemerintahan British pada tahun 1846, sehingga menghasilkan Perjanjian Oregon pada 15 Jun 1846[14] adalah kesan dari semangat Manifest Destiny.  O’ Sullivan berpendapat penguasaan ke atas Oregon adalah tanggungjawab yang diberi oleh Tuhan bagi penerapan pemerintahan bercorak demokrasi, berbanding sistem monarki beraja British yang sudah ketinggalan zaman.[15]  Wilayah Oregon yang menerima perpindahan penduduk warga Amerika Syarikat dengan pembukaan jalan utama Oregon dari pantai timur, menyebabkan ianya menjadi satu isu perpindahan penduduk yang menjadikan golongan Anglo-Saxon menjadi majoriti, alasan inilah yang mewajarkan pada pengambilalihan wilayah Oregon dari British yang kemudiannya terkenal dengan perlombongan emas ( gold rush).

Wilayah Texas dan Alta California merupakan wilayah yang berada di bawah kekuasaan kerajaan Mexico, kebanjiran penghijrah dari Amerika Syarikat dan kepentingan dalam membuka laluan ke Lautan Pasifik amat penting bagi ekonomi Amerika Syarikat.  Laluan perdagangan ke Jepun, China dan Asia Timur amat penting bagi Amerika Syarikat.  Amerika Syarikat tidak boleh bergantung selama-lamanya dengan British atau Perancis, serta negara-negara Eropah lain dari segi perdagangan antarabangsa yang menggunakan laluan kelautan ke Asia atau laluan darat ke Asia Barat.  Jalan pintas yang paling menguntungkan Amerika Syarikat adalah penggunaan Lautan Pasifik menuju ke negara China dan Asia, malahan pembelian wilayah Alaska pada tahun 1867 dari Russia dan Perjanjian Kanagawa pada 31 Mac 1854[16] dengan Jepun membuka laluan laut utama bagi Amerika Syarikat.  Kekalahan Mexico pada tahun 1848, menyaksikan wilayah California menjadi penting untuk perluasan kuasa ke Asia dan perdagangan kelautan ke Asia, seterusnya mengurangkan kebergantungan Amerika Syarikat dengan kuasa-kuasa perdagangan Eropah.

Implikasi dari pemerolehan wilayah Oregon dan wilayah-wilayah yang berada di bawah Mexico ( Texas, California, Wyoming, Colorado, Nevada, Utah, Arizona, New Mexico) sebelumnya, membuka sebuah laluan perdagangan ke Asia, kawasan pertanian yang luas, kawasan perlombongan ( emas, besi) dan kawasan pembalakan utama yang seterusnya, berjaya menjana kekayaan pada Amerika Syarikat.  Ini amat penting bagi negara republik yang mengamalkan demokrasi moden, agar ianya tidak terlalu bergantung dengan kuasa Eropah dan menjana kekayaan tersebut untuk merevolusikan dunia dengan dasar atau gaya pemerintahan yang liberal serta demokratik.

Amerika Syarikat juga bertindak sebagai kuasa pembaharuan dari segi idealistik pemerintahan yang moden, berbanding kaedah pemerintahan kuku besi yang diamalkan di Mexico, selain dari ketidakupayaan menyerapkan pemodenan teknologi pada pemerintahan yang bakal menyaksikan tertubuhnya negara bertamadun.  Amerika Syarikay menyahut seruan Manifest Destiny bagi menyebarkan pembaharuan dari segi pembangunan, teknologi, sains dan ideologi, disamping penyebaran fahaman mahzab Protestan yang lebih bebas dari ikatan gereja Katholik yang disifatkan memundurkan masyarakat beragama Kristian.[17]

Manifest Destiny juga dianggap sebagai keupayaan bagi bangsa terpilih, iaitu golongan Anglo-Saxon yang dianggap lebih mulia dan tinggi dari segi keupayaan akal fikiran intelek.  Teori Darwin digunakan sebagai alasan bagi kalangan Anglo-Saxon menguasai wilayah yang didiami oleh orang Red Indian dan Mexico di pantai barat.

Ini diperkuatkan lagi dengan teori ‘The White Man Burden’[18] yang dengan jelas menyifatkan, tanggungjawab bagi golongan Anglo-Saxon untuk mendominasi dan mendidik golongan Red Indian dan Mexico agar berubah menjadi bangsa yang lebih bertamadun.  Falsafah ‘The White Man Burden’ juga dibawa pada usaha Amerika Syarikat menguasai pulau Hawaii, Filiphina dan kepulauan Guam di Pasifik.

 

Penubuhan negara Amerika Syarikat dengan 13 buah negeri kesatuan di pantai timur menyaksikan ledakan imigrasi penduduk dari Eropah.  Para penduduk Amerika Syarikat yang miskin dan imigran yang tidak berharta ini, memerlukan tanah dan aset untuk meneruskan kehidupan.

Bagi para peniaga, pekilang, pengusaha dan golongan hartawan, mereka memerlukan pasaran untuk memasarkan barangan atau perkhidmatan.  Perpindahan penduduk Anglo-Saxon akan memberikan keuntungan pada dua pihak yang berlawanan darjat, golongan miskin akan memperolehi tanah atau pekerjaan, manakala golongan pengusaha atau hartawan dapat memasarkan barangan dan perkhidmatan pada penduduk miskin yang akan membuka tanah perladangan.  Manifest Destiny dianggap satu wadah yang amat penting , bagi kewajaran untuk kedua-dua belah pihak memperolehi keuntungan yang bermanfaat.  Pihak kerajaan yang berpusat di Washinton pula akan memperolehi keuntungan dari segi percukaian dan memakmurkan negara Amerika Syarikat.  Perkembangan dan perluasan wilayah adalah sesuatu yang amat penting bagi Amerika Syarikat dalam peringkat masa dari tahun 1845 sehingga 1900, setelah berjaya memperolehi kemerdekaan dan menghalau British sebagai penjajah yang menindas anak-anak jajahan.

“Dari segi jumlah penduduk, dianggarkan sebanyak 5 juta penduduk Amerika Syarikat dalam sekitar tahun 1800 dan meningkat pada jumlah 25 juta orang dalam pertengahan abad ke 19 ( 1850an).  Pertambahan penduduk disumbangkan oleh jumlah kelahiran yang tinggi dan imigrasi penduduk Eropah ke Amerika Syarikat.  Manifest Destiny adalah jalan penyelesaian yang memudahkan takrif bagi kuasa pemerintahan Amerika Syarikat untuk meluaskan kawasan tanahnya, jelas sebagai menafikan usaha untuk menjajah atau menakluk kawasan baru dan Manifest Destiny dianggap kewajaran untuk memaafkan tindakan golongan Anglo-Saxon menguasai wilayah-wilayah dalam negara Mexico.

Anggaran sebanyak 4 juta ( 4,000,000 orang) orang berpindah dari pantai timur Amerika Syarikat ke pantai barat benua Amerika Syarikat dari tahun 1820 sehingga tahun 1850”.[19]

Kemelesatan ekonomi pada tahun 1818 dan pada tahun 1850, menjadi punca utama menyebabkan perpindahan penduduk berlaku, tekanan kemelesetan ekonomi dan kehidupan yang kesempitan dari segi kewangan di bandar-bandar utama di pantai timur, menyebabkan perpindahan penduduk berlaku. Kawasan-kawasan yang berlaku perpindahan penduduk di pantai barat tidak memerlukan kawangan yang besar untuk dimiliki, ini menyebabkan tekanan untuk berpindah semakin mendesak dan kerajaan Amerika Syarikat melihat situasi ini akan memberikan keuntungan jangka panjang pada tahun-tahun yang mendatang di benua Amerika Syarikat.[20]

 

Kerajaan Amerika Syarikat juga bimbang dengan perluasan kuasa kerajaan British di British North Amerika ( sekarang Kanada) di utara dan berkemungkinan akan menguasai wilayah Oregon dan kawasan Praire yang subur di tengah benua Amerika Utara.  Serangan ke atas wilayah Florida pula dilakukan bagi mengekang penguasaan kerajaan Sepanyol dan berakhir dengan Perjanjian Onis-Adam pada tahun 1819[21] yang menghasilkan keputusan untuk menyerahkan wilayah Florida pada Amerika Syarikat.  Perpindahan penduduk dan tekanan perniagaan menyebabkan Amerika Syarikat menyerang puak asli Seminole yang bermula dari tahun 1835 sehingga tahun 1865 ( penduduk asli Seminole dipindahkan ke Mississippi dan imigran Anglo-Saxon merampas tanah dan mengusahakan penanaman kapas) yang menyaksikan kekalahan puak asli Seminole di Florida.  Selaras dengan Doktrin Monroe pada tahun 1822[22], Amerika Syarikat perlu mengelakkan sedaya upayanya agar tiada sebarang kuasa luar, terutamanya dari Eropah untuk menguasai sebahagian wilayah di Amerika Syarikat. Manifest Destiny dianggap penting dalam memperjuangkan kebebasan Amerika Syarikat dari terkepung dengan kuasa-kuasa penjajahan Eropah di benua Amerika.  Amerika Syarikat perlu menafikan kewujudan sebarang kuasa asing yang bakal melemahkan negara demokratik liberal yang baru ditubuhkan, mencegah unsur-unsur pemerintahan monarki beraja atau kerajaan oligarki.

 

Manifest Destiny dikaitkan dengan ajaran agama Kristian untuk menghalalkan tindakan peperangan dan perluasan kuasa ke wilayah Florida, Texas dan Alta California dan termasuklah menyerang Mexico City yang menyaksikan Jeneral Santa Anna menyerah kalah pada tahun 1848.  Takdir ketentuan oleh Tuhan dinyatakan sebagai alasan utama dalam Manifest Destiny bagi meluaskan kuasa Amerika Syarikat, ini sebagai alasan yang menasabah untuk menafikan kekejaman dan penjajahan bentuk baru oleh Amerika Syarikat dalam era tahun 1840an sehingga tahun 1900an.  Amerika Syarikat sedaya upaya cuba mengalihkan perhatian agar tidak disamakan sebagai penjajah yang kejam dengan alasan keagamaan dinyatakan sebagai objektif utama perluasan kuasa.  Penyebaran mahzab Protestan dianggap sebagai menafikan golongan gereja di Vatican dan paderi-paderi yang mendominasikan kehidupan di Mexico yang bermahzab Katholik. Kewajaran bagi pembebasan dari belenggu mahzab Katholik yang dianggap punca kemunduran manusia yang merdeka, digunakan sebagai alasan utama mengwajarkan Manifest Destiny.

 

Pembukaan jalan-jalan wagon ( kereta kuda) adalah salah satu punca berlakunya penghijrahan dan Manifest Destiny digunakan sebagai alasan yang relevan untuk perluasan wilayah Amerika Syarikat.

Jalan dari Santa Fe ke Los Angeles ( California) yang berada di bawah Mexico ketika itu telah dibuka dan laluan perniagaan ke Asia terbuka luas, jalan utama dari Missourri ke Alta California juga merupakan laluan penting ke pantai barat dari negeri-negeri selatan Amerika Syarikat, ini ditambah lagi dengan jalan utama dari utara Amerika Syarikat ke wilayah Oregon dan British Columbia yang sekali lagi membuka jalan ke Lautan Pasifik.  Perjalanan pertama wagon ( first wagon) pada tahun 1831[23] dari Amerika Syarikat ke pantai timur benua Amerika Utara adalah landasan utama perluasan kuasa Amerika Syarikat dan kebimbangan penguasaan penjajah asing ( Eropah) atau pengisytiharan kemerdekaan oleh para penghijrah di wilayah Oregon atau lain-lain wilayah di pantai barat, menyebabkan Manifest Destiny mempunyai kewajaran untuk dipraktikkan.

Secara amnya Manifest Destiny dapat dibahagikan pada tiga bahagian asas utama, sebagaimana pendapat oleh ahli sejarahwan bernama Beshoy Shaker, tiga bahagian asas utama tersebut adalah “ the virtue of the American people and their institutions; the mission to spread these institutions, thereby redeeming and remaking the world in the image of the U.S.; and the destiny under God to accomplish this work”[24].  Inilah yang menjadi alasan utama bagi konsep perluasan wilayah dan menjadi kewajaran untuk Manifest Destiny digunakan sepenuhnya bagi dasar luar Amerika Syarikat yang berkaitan dengan penubuhan sebuah negara yang kukuh.  Penubuhan sebuah negara yang akan menggerakkan teknologi dan kemajuan dunia dan menghasilkan sebuah pemerintahan yang adil dan saksama.

Kenyataan Akhir ; Manifest Destiny- Amerika Syarikat

Manifest Destiny menyumbangkan perluasan wilayah Amerika Syarikat dari Florida sehinggalah ke Filiphina di Asia. Dasar inilah juga yang menyebabkan Amerika Syarikat berjaya mengelakkan British dari menguasai pantai timur benua Amerika Utara yang membuka laluan ke Asia, khususnya jalan perdagangan ke China. Manifest Destiny juga menyebabkan sebuah kerajaan republik dapat mengatasi penjajahan kerajaan beraja monarki dari England, Perancis dan Sepanyol mendominasi benua Amerika Utara.  Kerajaaan Mexico yang mengamalkan pemerintahan yang menindas juga dapat diatasi oleh Amerika Syarikat, malahan pengaruh mahzab Khatolik juga dapat di atasi dengan pembaharuan mahzab Protestan yang membebaskan penganut agama Kristian dengan ajaran konservatif.  John L. O’ Sullivan pada tahun 1839 dan 1845 telah merintis sebuah jalan  yang dinamakan sebagai Manifest Destiny yang membawa pada perubahan minda bagi rakyat Amerika Syarikat dan kepimpinan politik Parti Demokrat dan Parti Republikan yang menguasai Dewan Senat Amerika Syarikat. Sejarah Amerika Syarikat terhasil dengan keupayaan para pemimpinnya yang dapat mentafsirkan dan mengaplikasikan Manifest Destiny dalam landasan yang memartabatkan Amerika Syarikat di persada dunia.

 

 

BIBLIOGRAFI

Blum, Schlesinger, Jr. et al. The National Experience: A History Of The United States. 6th ed. New York: Harcourt Brace Hovanovich, 1985.

Brinkley, Alan. American History, A Survey Volume I. 9th ed. New York: McGraw-Hill, 1995.

Brinkley, Alan. American History, A Survey Volume 2. 9th ed. New York: McGraw-Hill, 1995.

Campbell, A.E., Expansion and Imperialism, Harper & Row Publishers: New York, 1970.

Cole, Wayne S., An Interpretive History of American Foreign Relations, The Dorsey Press, Homewood, Illionis, 1968.

Goldwin, Robert A., (ed.) Readings in American Foreign Pollicy, Oxford University Press, London, 1971.Gould, Lewis L. The Presidency of William McKinley . Regents Press of Kansas,Kansas,1980.

Haynes, Sam W. and Christopher Morris, eds. Manifest Destiny and Empire: American Antebellum Expansionism. College Station, Texas: Texas A&M University Press, 1997

Howard Zinn, A people’s history of the United States. 1492 – present, HarperCollins Publishers, New York,2005.

Kiernan, V.G., America: The New Imperialisme : From White Settlement to World Hegemony, Zed Press, London, 1978.

McDougall, Walter A. Promised Land, Crusader State: The American Encounter with the World Since 1776. New York: Houghton Mifflin, 1997.

Merk, Frederick. Manifest Destiny and Mission in American History: A Reinterpretation. New York, Knopf, 1963.

Ritchie, Donald A., Heritage of Freedom: History of The United States., New York: MacMillan Publishing Company, 1985.

Sampson, Robert D. John L. O’Sullivan and His Times. Kent, Ohio: Kent State University Press, 2003.

Stuart, Reginald C. United States Expansionism and British North America, 1775–1871. Chapel Hill, N.C.: University of North Carolina Press, 1988.

Tuveson, Ernest Lee. Redeemer Nation: The Idea of America’s Millennial Role. Chicago: University of Chicago Press, 1968.

Weinberg, Albert K. Manifest Destiny: A Study of Nationalist Expansionism in American History. Baltimore: Johns Hopkins, 1935.

Weeks, William Earl. Building the Continental Empire: American Expansion from the Revolution to the Civil War. Chicago: Ivan R. Dee, 1996.

 Ryser, Rudolph C. A Publication of the Center for World Indigenous Studies. The Internet., June 1992

http://en.wikipedia.org/wiki/Manifest_Destiny

www.pbs.org/kera/usmexicanwar/prelude/manifest_destiny_overview.html

www.let.rug.nl/usa/E/manifest/manifxx.htm

www.wisegeek.com/what-is-manifestdestiny.htm

www.mtholyoke.edu/acad/intrel/osulliva.htm

www.civics-online.org/library/formatted/texts/manifest_destiny.htm

www.britannica.com/EBchecked/topic/362216/ManifestDestiny

www.pbs.org/kera/usmexicanwar/prelude/md_introduction.html

[1] Howard Zinn, A people’s history of the United States. 1492 – present, HarperCollins Publishers, New York,2005, hlm. 151.

[6] “Treaty of Peace Between the United States and Spain”. The Avalon Project at the Yale Law School. Yale Law School, Lillian Goldman Law Library.

December 10,1898:http://www.yale.edu/lawweb/avalon/diplomacy/spain/sp1898.htm. 

[9] http://www.mtholyoke.edu/acad/intrel/osulliva.htm. Excerpted from”The Great Nation of Futurity,” The United Sates Democratic Review, Volume 6, Issue 23, page 426-430. The complete article can be found in “The Making of America Series at Cornell University”.

[10] Howard Zinn, A people’s history of the United States. 1492 – present, HarperCollins Publishers, New York,2005, hlm. 151.

[11] McCrisken, Trevor B., Exceptionalism: Manifest Destiny (accessed 200805-20), in Encyclopedia of American Foreign Policy, Vol. 2, p. 68. Charles Scribner’s Sons, New York (2002). ISBN 0684806576. http://freebooksource.com/?p=7741

[12] Sampson, Robert D. John L. O’Sullivan and His Times. Kent, Ohio: Kent State University Press, 2003.

 

[14] officially titled the Treaty between Her Majesty and the United States of America, for the Settlement of the Oregon Boundary and styled in the United States as the Treaty with Great Britain, in Regard to Limits Westward of the Rocky Mountains, and also known as the Buchanan-Pakenham (or Packenham) Treaty or (sharing the name with several other unrelated treaties) the Treaty of Washington, http://en.wikipedia.org/wiki/Oregon_Treaty

[15] Weinberg, Albert K. Manifest Destiny: A Study of Nationalist Expansionism in American History. Baltimore: Johns Hopkins, 1935, hlm. 145.

[17] Gould, Lewis L. The Presidency of William McKinley . Regents Press of Kansas,Kansas,1980, hlm. 140-142.

[21] formally titled the Treaty of Amity, Settlement, and Limits Between the United States of America and His Catholic Majesty, sometimes the Florida Purchase Treaty, http://en.wikipedia.org/wiki/Adams-On%C3%ADs_Treaty

 

[24] Weeks, William Earl. Building the Continental Empire: American Expansion from the Revolution to the Civil War. Chicago: Ivan R. Dee, 1996, hlm. 18-19. http://en.wikipedia.org/wiki/Manifest_Destiny#cite_note-17


Leave a comment

Filed under Uncategorized

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s